magnet diri?




MAGNET DIRI: POTENSI KUASA PENGARUH
Sunday, October 4th, 2009
http://www.aminidris.com/ver2/?


Saya ingin berkongsi dengan saudara, betapa hebatnya manusia dan manusia itu adalah saya dan juga saudara. Mengapa manusia hebat? Apa buktinya manusia hebat? Apa kedudukan manusia di sisi Tuhan?


Asal Kejadian Manusia


Setiap manusia dilahirkan dengan kemuliaan dan kehebatan. Jika dilihat daripada sudut Islam, manusia berada di tahap kemuliaan yang cukup hebat berbanding makhluk-makhluk yang lain seperti malaikat, syaitan dan haiwan. Walaupun malaikat dibuat daripada cahaya dan syaitan daripada api, ia tidak memberi makna yang mereka mampu mengatasi kehebatan manusia. Manusia yang diperbuat daripada tanah tidak dapat dilihat secara tersurat, sebaliknya secara tersurit ia menandakan kehebatan manusia. Antaranya adalah manusia memperoleh akal fikiran yang menyebabkan manusia mampu diangkat lebih mulia daripada malaikat.


Sewaktu awal kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam, berlaku dialog di antara Tuhan, malaikat dan syaitan. Ringkasnya, Tuhan mengarahkan semua makhluk di syurga termasuk syaitan ketika itu yang juga penghuni syurga supaya sujud menghormati Adam sebagai manusia pertama ciptaan Tuhan. Kerana rasa bongkak dan ego, syaitan enggan sujud pada Adam kerana merasakan tiada sebab baginya menghormati makhluk yang dibuat daripada tanah sedangkan dia adalah daripada api. Lantas, akibat kedegilan syaitan yang konsisten itu, syaitan dihalau keluar dari syurga.


Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ’Sujudlah kamu kepada Adam’, maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takabbur dan ia adalah termasuk golongan orang-orang yang ingkar kepada Tuhan.


(al-Baqarah, ayat 34)


Kisah di atas memberikan dua makna yang cukup besar berkaitan buku ini iaitu:


1.Sikap egois syaitan menjadi punca generasi syaitan hidup di dalam Neraka. Malah menyebabkan wujudnya kejahatan di dunia kerana syaitan yang berjanji bagi menyesatkan kaum Adam.
2.Perintah Tuhan kepada semua makhluk di syurga termasuk para malaikat yang tidak pernah ingkar kepada perintah Tuhan supaya sujud kepada Adam memberikan indikator, manusia mempunyai darjat yang cukup mulia di sisi Tuhan.
Prinsip ini disahkan melalui penjelasan Tuhan di dalam Quran iaitu dalam surah Tin, ayat 4 iaitu;


Sesungguhnya dijadikan manusia itu pada sebaik-baik kejadian.


Elakkan dari Memperlekehkan Diri Sendiri


Kemuliaan manusia di sisi Tuhan berbanding makhluk lain memberi maksud yang kita semua adalah hebat. Dalam diri kita terdapat potensi yang berkemungkinan besar membolehkan kita mencapai puncak kejayaan. Tidak ada sebab untuk kita memperlekehkan diri sendiri, tidak ada sebab untuk kita mengatakan kita ditakdirkan gagal.


Mungkin adakalanya terdapat orang lain yang memperlekehkan kita, tetapi ia tidak seteruk jika kita sendiri yang memperlekehkan diri kita. Kita ’mungkin’ tidak dapat mengawal sepenuhnya tutur kata dan fikiran orang lain, tapi kita pasti mampu mengawal tutur kata dan fikiran kita sendiri.


Manusia Sudah Miliki Kuasa Pengaruh


Masihkah kita ingat, pada usia kecil kita sudah pun menggunakan kuasa pengaruh. Sewaktu kita masih bayi, kita menjadi perhatian hampir semua orang yang melihat kita. Pada penelitian saya, semasa kita masih bayi, kita menggunakan sekurang-kurangnya tiga kuasa pengaruh iaitu;


1.Kuasa senyuman dan ketawa: Menyebabkan orang ramai rasa terpikat dan sanggup memberikan apa sahaja kerana kecomelan hasil senyuman dan ketawa seorang bayi

2.Kuasa Tangisan dan keluhan: Tatkala seorang bayi menangis, ia mampu membuatkan orang ramai di keliling bayi itu resah dan gelisah lantas sanggup berbuat apa sahaja bagi menenangkan bayi itu. Sehinggakan seorang lelaki dewasa yang berjawatan tinggi dalam negara pun sanggup menjadi seperti budak demi menenangkan seorang bayi menangis.


3.Kuasa berdiam diri: Ketika diam sekalipun, seorang bayi mampu mempengaruhi orang lain mendekatinya serta membuat apa sahaja bagi menggembirakannya.
Itulah contoh yang membuktikan kita sudah mempunyai potensi pengaruh sejak kecil lagi. Mungkin saudara tertanya-tanya, kenapa ada pula yang meningkat remaja, dewasa sehinggalah ke alam tua mengakhiri hidup sebagai manusia sebatang kara dan tidak dipedulikan orang lain. Kewujudannya tidak menambah, pemergiannya tidak merasa berkurang.


Jawabnya adalah mudah. Potensi sahaja tidak cukup bagi menjadikan kita hebat dan berpengaruh. Potensi adalah permulaan kepada kehebatan dan pengaruh, ia perlu disusuli dengan ’yang lain’. Buku Magnet Diri dapat memandu saudara bagi mengetahui apakah ’yang lain’ itu.

Comments

Popular Posts