GRADUAN UUM NOMBOR DUA MUDAH DAPAT KERJA

PROUUM ONLINE: KAJIAN Kementerian Pengajian Tinggi mendapati kedudukan
kebolehpasaran graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapat
pekerjaan sebelum konvokesyen, berada ditangga kedua pada tahun
ini berbanding Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

Daripada 6243 graduan yang menerima ijazah pada Konvokesyen ke-18
universiti itu baru-baru ini, seramai 2,969 telah bekerja dalam pelbagai bidang.
UUM mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) 2,728,
Universiti Malaya (UM) 2,453 dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) 1,482,
bagaimanapun Universiti Sains Malaysia (USM) mendahului universiti lain
dengan 3,495 graduannya mendapat kerja.

Dari segi peratusan pula menunjukkan UUM masih berada pada "top five"
selepas UPSI (pertama), USM (kedua), UKM (ketiga), dan UM (keempat).
Naib Canselor UUM, Dato' Dr. Nordin Kardi berkata, UUM akan terus
menjadi pilihan utama calon-calon terbaik dari dalam dan luar negara,
terutamanya mereka yang ingin melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan.

"Saya yakin kejayaan ini adalah hasil kerja kuat academia, pentadbir dan
mahasiswa yang lebih dahulu berada di UUM berbanding saya sendiri.
"Rakan-rakan sekalian telah meletakkan UUM di landasan yang betul dan
saya percaya rakyat serta negara amat berbangga, malah berterima kasih
kepada semua ahli keluarga besar warga Sintok kerana dalam tempoh yang
relatif singkat telah meletakkan universiti ini mengatasi universiti yang lebih dewasa.

"Universiti boleh berbelanja untuk kerja-kerja promosi tetapi pada
kesudahannya yang akan lebih menggembirakan kita ialah output .
Inilah hasil kerja ikhlas dan dengan penuh kesungguhan yang rakan-rakan
telah dapat hasilkan - the output speaks by itself," katanya dalam
Perutusan Hari Rayanya yang dikirimkan melalui e-mel kepada warga kampus Sintok.

Dr. Nordin mengajak warga kampus untuk bekerja lebih kuat selepas ini
bagi meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan mengatasi
universiti lain yang lebih lama kewujudannya. "Walaupun mungkin kita
perlu menghadapi kerja-kerja berat, payah, sulit dan menyakitkan
tetapi kita akan lakukannya dengan penuh kegembiraan.

"Kita sama-sama jadikan UUM tempat yang menyeronokkan untuk hidup
dan mencari rezeki yang halal," katanya lagi. Mengingati semasa beliau
dan keluarga mula-mula menjadi warga Kampus Sintok selepas dilantik
oleh kerajaan untuk menerajui universiti itu Jun lalu, beliau berkata:
"Saya amat terharu kerana selama 4 bulan berada di UUM,
saya merasa diterima oleh rakan-rakan sekalian seolah-olah
telah lama bersama-sama universiti ini. "Saya perhatikan,
setiap ahli keluarga UUM sentiasa menghulur tangan memberi
pertolongan sehingga semua perkara berjalan dengan licin,
dari hal urusan perpindahan, persekolahan anak-anak dan kerja-kerja rasmi universiti."

::: sumber portal uum..

Comments

Popular Posts