Segala doa diperkenan pada malam Lailatul Qadar

LAILATUL Qadar yang juga dikenali Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan.
Ia juga dinamakan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah
melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa
dan beribadat pada sebelah malamnya.
Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya
Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama.
Namun, yang pasti ia hanya berlaku pada satu malam pada Ramadan.
Hal ini sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut
untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan
amal ibadat pada malam akhir Ramadan al-Mubarak ini.
Penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan
kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran
pada malam itu.Ulama bersepakat mengatakan ada beberapa tanda
apabila berlakunya malam al-Qadar, antaranya:-

· Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat
segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
· Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan
melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan.
· Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat
mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
· Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan
diperkenankan segala doanya.Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan
bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit
matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
Ia tidak mempunyai sinar yang terlalu panas yang mana tidak dirasakan
kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.
Bagaimanapun, pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap
mendapat ganjaran daripada Allah biarpun tandanya tidak dapat
dilihat dengan mata kasar.Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat
puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, insya-Allah akan
menemui malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu.

Comments

Popular Posts