nafsU-nafsi
Muslim cemerlang guna akal, iman sebagai panduan jalani kehidupan penuh ujian MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah di muka bumi berbanding makhluk lain. Kelebihan dan kemuliaan manusia disebabkan mereka diberi akal fikiran. Dengannya manusia dapat berfikir untuk membezakan perkara baik dan buruk, sekali gus tahu mana perintah Allah yang perlu ditaati dan dilarang-Nya yang mesti dijauhi.
Allah juga membekalkan nafsu kepada manusia. Dengan nafsu martabat dan kedudukan manusia boleh menjadi lebih tinggi dan mulia atau menjadikan insan lebih hina serta rendah daripada haiwan. Baik atau buruk hidup manusia bergantung kepada tahap kesucian batin dan nafsunya. Mengikut ulama, kemuliaan seseorang hamba bergantung sejauh mana taraf makrifatnya kepada Allah. Jika seseorang berjaya mencapai tahap makrifat sebenar, ia menjadi sebaik-baik makhluk. Berjaya atau tidak manusia itu menjadi makhluk terbaik bergantung kepada sejauh mana ia mengawal nafsunya.
Nafsu mempunyai dua pengertian iaitu meliputi segala tabiat manusia seperti benci, dendam dan berahi. Pengertian kedua berkait dengan kejadian latifah rabbaniyah, iaitu sesuatu yang batin, tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana membabitkan hal kerohanian.
Allah jadikan manusia daripada dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Dalam tubuh manusia ada dua tenaga iaitu yang membina dan tenaga merosak. Tenaga membina tunduk di bawah pengendalian akal sihat dan waras, sementara tenaga perosak tunduk di bawah pengaruh nafsu.
Seperti tercatat dalam kitab Sirras Salikin, sesetengah ulama daripada ahli suluk mengelaskan nafsu manusia kepada tujuh jenis iaitu amarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah. Namun, hanya empat jenis nafsu popular di kalangan umat Islam iaitu amarah, lawwamah, mulhamah dan mutmainnah.
Nafsu amarah tingkat nafsu paling rendah yang menyeru manusia melakukan kejahatan kerana dibayangi perlakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.
Nafsu lawwamah lebih tinggi tingkatnya berbanding amarah, tetapi masih tidak jauh bezanya daripada nafsu amarah dilihat dari sudut pelakuan orang dipengaruhinya.
Lawwamah ialah nafsu yang suka mengajak dan menyuruh orang melakukan kejahatan.
Mulhamah ialah nafsu yang menerima beberapa proses kesucian daripada sifat hati yang tercemar. Proses itu menyebabkan segala kekotoran atau hasutan syaitan dapat dibuang dan diganti dengan amalan mengingati Allah.
Nafsu mutmainnah pula merujuk golongan mukmin yang salih dan dihidupkan rohnya, pada waktu sama mempamerkan akhlak mulia dan peribadi yang tinggi serta mata hatinya hidup untuk melihat sesuatu yang ghaib serta mengenal dengan perasaannya.
Sesungguhnya nafsu berperanan sebagai perangsang atau pendorong manusia mengejar cita-cita dan impian demi tuntutan hidup. Ada yang berjaya mencapai impian mengikut landasan dibenarkan Allah, malah ada juga yang tergelincir daripada landasan dibenarkan Allah kerana dihasut nafsu syaitan.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20090320225700/Article/
Comments
Post a Comment