more news election!!!

6 bentuk pencabulan menjolok mata pilihan raya kampus

Saturday, September 24 @ 19:45:03 MYT
Memorandum aduan pencabulan demokrasi dan salah guna kuasa dalam
pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar IPTA sesi 2005-2006
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius terhadap situasi

semasa di kampus-kampus universiti tempatan di mana semakin
berleluasanya tekanan dan penindasan terhadap mahasiswa di dalam
melaksanakan hak demokrasi mereka di kampus.

DPPP melihat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bukan sahaja
gagal berfungsi sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab
untuk meninggikan prestij pendidikan tinggi negara,
bahkan hanya mampu berperanan secara autokratik untuk
menindas mahasiswa demi kepentingan politik sempit Umno/BN.

Pemuda PAS selamanya berpandangan bahawa soal menentukan

kepimpinan mahasiswa mestilah dilaksanakan oleh mahasiswa
sendiri tanpa paksaan dan ugutan dari mana-mana pihak.

Menjelang pilihan raya MPP Sesi 2005/2006 yang akan berlangsung

pada 29 September 2005 ini, Pemuda PAS buat sekian kalinya
ingin mengemukakan aduan rasmi kepada SUHAKAM berkenaan
dengan pencabulan demokrasi dan salah guna kuasa yang
dilakukan oleh KPT dan pentadbir-pentadbir universiti yang
didalangi parti politik Umno/BN demi memastikan hanya
kumpulan mahasiswa ASPIRASI yang pro kerajaan menang secara mutlak di dalam pilihan raya MPP.

Sebahagian dari salah laku-salah laku dan pencabulan undang-undang

ini telah pun berkali-kali diadukan sebelum ini samada oleh persatuan mahasiswa,
parti politik, mahupun NGO-NGO sivil, tetapi nampaknya ianya masih berulang,
bahkan keadaannya menjadi semakin teruk dari tahun ke tahun.

Justeru, Pemuda PAS mendesak supaya SUHAKAM dapat

menyiasat perkara-perkara berikut, iaitu:

1. KPT dan pentadbir-pentadbir universiti membenarkan Umno/BN

campur tangan di dalam Pilihan raya MPP
Pegawai-pegawai di KPT dan juga pentadbir-pentadbir universiti

yang merupakan pegawai kerajaan Kumpulan A telah berkomplot
dengan Umno/BN bagi memastikan kemenangan kumpulan ASPIRASI di dalam pilihan raya MPP sesi ini.

Ini terbukti apabila siri-siri Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Pelajar

IPTA yang sebenarnya menjadi mesyuarat untuk memikirkan
strategi memenangkan ASPIRASI telah diadakan di ibu pejabat Umno
di Tingkat 38, Menara Dato Onn, PWTC. Surat jemputan mesyuarat tersebut turut dilampirkan di sini.

Adalah menjadi suatu perkara yang sangat tidak bermoral bagi

mana-mana penjawat awam apabila mengadakan mesyuarat mereka di pejabat parti politik.
Ia bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang,

menjatuhkan maruah perkhidmatan awam di mata rakyat.

Mesyuarat yang melibatkan semua TNC-TNC HEP,

Timbalan Pendaftar HEP dan Presiden MPP setiap IPTA
(kecuali UIA dan UPSI yang tidak dijemput) turut dihadiri oleh Exco Pemuda Umno
dan Exco Puteri Umno. Ini diakui sendiri oleh wakil KPT,
Dr Muhamad Hussin dan Exco Puteri Umno, Nolee Ashilin Mohd Razi
sewaktu ditemubual oleh portal berita MALAYSIAKINI.
Tindakan ini jelas bertentangan dengan Peraturan Pegawai Awam

(Kelakuan dan Tatatertib) dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Mesyuarat rasmi sebegini sudah tentulah perbelanjaannya ditanggung

dengan menggunakan peruntukan kerajaan yang merupakan dana awam,
tetapi jelas sekali telah diselewengkan untuk kepentingan politik.

2. Pentadbir universiti dan Hal Ehwal Pelajar terbabit menaja dan

menyokong kumpulan ASPIRASI di dalam kempen Pilihanraya MPP
serta melakukan ugutan kepada pelajar supaya mengundi ASPIRASI
Di hampir semua kampus, Timbalan Naib Canselor HEP secara

automatik dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya MPP,
yang berfungsi selaku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana di luar.
Tetapi pada masa yang sama mereka ini juga adalah penasihat
utama kepada Kelab ASPIRASI yang bertanding di dalam pilihan raya MPP.

Pemuda PAS mendapat laporan, di UKM sebagai contoh,

TNC HEP telah mengadakan road show bagi berkempen untuk
memenangkan ASPIRASI sedangkan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya,
TNC HEP mestilah bersikap berkecuali.

Begitu juga dengan pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej Kediaman

hampir semuanya turut terlibat sebagai AJK Pilihan Raya,
tetapi pada masa yang sama turut berkempen dan menggugut pelajar supaya menyokong ASPIRASI.

Sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, ugutan kepada mahasiswa

yang disyaki tidak menyokong ASPIRASI juga semakin berleluasa.
Pelajar bukan sahaja diugut untuk dibuang kolej dan dikenakan
tindakan tatatertib, bahkan bilik pelajar juga digeledah pada waktu
malam dengan sewenang-wenangnya dengan tidak mengikut prosedur undang-undang,
selain terdapat juga pelajar yang dikasari secara fizikal.

3. Penggunaan jentera universiti dan kerajaan di dalam kempen ASPIRASI
Kumpulan ASPIRASI telah diberikan pelbagai keistimewaan oleh pihak universiti,

seperti mndapat kemudahan premis universiti untuk dijadikan bilik gerakan pilihanraya.
Di samping itu juga, jentera dan kakitangan universiti turut
diarahkan untuk memastikan kemenangan ASPIRASI.

Sebagai bukti, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar,

Jabatan Pengurusan IPT KPT telah menganjurkan Bengkel Pelan
Strategik Pengurusan Aktiviti Kolej-Kolej Kediaman IPTA pada
13-14 Ogos 2005 lalu di Institut Latihan KWSP (ESSET),
Bangi yang melibatkan felo-felo kolej kediaman IPTA seluruh Malaysia.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi penerangan tentang skop tugasan felo-felo.

Tetapi di dalam kertas bengkel tersebut sebagaimana yang dilampirkan,

felo-felo telah diarahkan oleh KPT untuk membuat culaan terhadap
ideologi politik pelajar di samping memastikan sokongan terhadap ASPIRASI meningkat.

Ini jelas membuktikan betapa jentera universiti yang sepatutnya

berkhidmat demi kepentingan seluruh mahasiswa,
telah digerakkan untuk untuk memerangi mahasiswa yang tidak sehaluan dengan mereka.

4. Perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang bias,

pilih kasih dan selektif
Di dalam Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971

mahasiswa dilarang sama sekali dari menganggotai mana-mana
politik (termasuk Umno/BN), kesatuan sekerja dan seumpamanya.
Mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan,
bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak-pihak terbabit.

Tetapi tegahan ini nampaknya hanya ditekankan kepada parti pembangkang sahaja.

Ini dapat dilihat apabila pegawai KPT, pentadbir universiti dan pelajar
ASPIRASI bermesyuarat saban minggu dengan wakil Pemuda dan Puteri Umno.

Kursus-kursus pilihanraya bagi kumpulan ASPIRASI dikendalikan oleh Puteri Umno.

Contohnya, sebagaimana yang diadakan di Hotel De Palma pada 6-7 Ogos 2005.
Dalam banyak program-program pelajar di universiti,
-pemimpin Umno yang tidak ada jawatan dalam kerajaan bebas
keluar masuk merasmikan program pelajar. Contohnya, Noraini Ahmad,
Ketua Puteri Umno datang merasmikan salah satu acara mini dalam Pesta Konvokesyen UKM.

Begitu juga dengan peraturan pilihan raya, dimana di dalam

Peraturan Pilihan Raya di hampir kesemua universiti,
pelajar dilarang untuk bertanding secara berkumpulan dan juga
berkempen mengunakan manifesto yang sama.

Sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh dibatalkan pencalonannya.

Tetapi larangan ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh kerana di setiap universiti,
Kelab ASPIRASI ditubuhkan oleh universiti sendiri untuk
menjadi parti politik tunggal yang bertanding dalam pilihan raya.
Maka, hanya ASPIRASI sahaja yang dibenarkan bertanding secara berkumpulan.

Begitu juga dengan larangan kepada calon untuk mengadakan
kempen terbuka dan rapat umum, dimana ianya hanya dilarang kepada calon bukan ASPIRASI.

Sedangkan calon ASPIRASI bebas mengadakan road show kempen

di dalam kampus yang diatur oleh HEP sendiri. Ini jelas suatu
diskriminasi dan bertentangan dengan Perkara 8 (1)
Perlembagaan Persekutuan yang menajamin hak sama rata di sisi undang-undang (equality before the law).

5. Peraturan Pilihanraya yang menindas, tidak munasabah dan ultra vires
Peraturan Pilihan Raya di kampus-kampus bukan sahaja dikuatkuasakan secara selektif,

tetapi isi kandungannya juga boleh dipertikaikan keesahannya (validity)
dari segi undang-undang oleh kerana mengenakan peraturan dan
syarat-syarat yang tidak munasabah dan ultra vires Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Di antara contoh peraturan tersebut ialah:
a) Mewajibkan bakal calon untuk menduduki beberapa peringkat temuduga.
b) Meletakkan had minimum CGPA kepada calon-calon yang bertanding.
c) Mewajibkan calon untuk mendapatkan tanda tangan pengesahan dari Pengetua Kolej dan Dekan-Dekan.
d) Membenarkan hanya mahasiswa yang berbaki sekurang-kurangnya dua semester pengajian sahaja untuk bertanding.

Syarat-syarat ini jelas menyusahkan dan bertentangan dengan

Perlembagaan Universiti (Jadual Pertama AUKU 1971) yang telah
meletakkan syarat-syarat tertentu bagi mahasiswa yang ingin bertanding di dalam Pilihan Raya MPP.

Tambahan syarat-syarat lain yang tidak munasabah adalah ultra

vires kepada AUKU dan menjadikan validity dan legality peraturan pilihanraya tersebut boleh dipersoalkan.

6. Prinsip secrecy of voting (kerahsiaan undi) dicabuli
Terdapat beberapa universiti seperti UKM dan UiTM yang telah

mencatitkan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pelajar
semasa proses pengundian. Tindakan ini amat berbahaya dan menjadikan undi tidak lagi rahsia disebabkan dengan jumlah pengundi yang tidak seramai seperti mana di dalam pilihanraya di luar, membolehkan undi seseorang pelajar itu diketahui dengan mudah.

Semasa proses pengiraan undi juga, counting agent kepada

calon juga tidak dibenarkan untuk mengawasi dari dekat proses
undi dan ini menimbulkan keraguan samada undi dikira dengan betul ataupun tidak.
Selain itu, beberapa buah IPTA seperti UPM dan UIA telah
proses pengundiaan berkomputer yang dikenali sebagai E-Voting.

Perlaksanaan sistem ini juga wajar dihentikan kerana ianya

terdedah kepada manipulasi dan penyelewengan di samping
ada jaminan terhadap kerahsian undi. Inilah di antara aduan-aduan yang
ingin dikemukakan oleh DPPP kepada SUHAKAM untuk diambil tindakan segera.
Sesungguhnya, berdasarkan kepada Seksyen 12 Akta Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, SUHAKAM mempunyai tanggungjawab
di bawah undang-undang (statutory duty) untuk menyiasat setiap aduan
perlanggaran hak asasi manusia yang dibuat oleh mana-mana orang atau kumpulan.

DPPP amat mengharapkan agar perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak SUHAKAM.

Akhirnya, DPPP ingin mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut

untuk dilaksanakan oleh SUHAKAM:
1)Mengwujudkan Jawatankuasa Khas Pemantau bagi memantau

dan mengawasi perjalanan Pilihan Raya MPP setiap sesi.

2)Mengeluarkan satu laporan khas yang komprehensif terhadap

hasil siasatan bagi aduan-aduan berkaitan dengan pencabulan
hak asasi manusia semasa Pilihan Raya MPP yang telah dibuat sejak tahun 2000 lagi.

3)Mengadakan road show di kampus IPTA seluruh negara dengan

bertemu secara bersemuka kesemua Naib-Naib Canselor,
Timbalan-Timbalan Naib Canselor HEP, pegawai-pegawai
HEP dan pemimpin-pemimpin pelajar dari semua kelompok
bagi berdialog dan memberikan taklimat tentang prinsip
asas demokrasi yang mesti dipraktiskan semasa Pilihan Raya MPP.

4)Membuat satu kajian dan semakan terhadap semua

Peraturan Pilihan Raya yang diamalkan di setiap IPTA agar
ianya benar-benar mengikut prinsip undang-undang.

Amat besar harapan kami sekiranya SUHAKAM dapat melaksanakan

perkara ini dengan sebaik dan seadilnya.
kerjasama dan perhatian diucapkan terima kasih.
--------
Memorandum ini telahpun diserahkan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat,

Ahmad Sabki Yusuf kepada Dato N Sivasubramaniam,
Pesuruhjaya SUHAKAM di ibu pejabat SUHAKAM pada jam 11.45 pagi,
Jumaat 23 September 2005.

copy paste dr my mail simple_shida@yahoo.com.my

Comments

Popular Posts