Hikmah di sebalik penderitaan, kesulitan *_*

UMPAMA pepatah – langit tidak selalu cerah – begitulah untung nasib manusia.
Justeru, dalam meniti detik perjalanan hidup, pasti ada pada masanya
kita akan mengalami erti kesengsaraan dan kekecewaan.
Bahagia dan ketenangan hati yang dikecap sekian lama umpama lenyap begitu saja.

Tiada siapa yang menyangka, dengan sekelip mata kita mungkin
kehilangan orang dikasihi. Ibu bapa atau isteri meninggal dunia akibat kemalangan.
Kisah lain mungkin kita dibuang kerja atau perniagaan yang diharap
menampung kehidupan keluarga akhirnya muflis. Kebanyakan kita mungkin kecewa,
sedih dan tertekan pada mulanya, fikiran buntu mengenangkan kehidupan diri
dan keluarga selepas itu. Lebih ditakuti apabila akhirnya menyalahkan takdir,
malah sudah ada cerita dan kes di negara ini atau di negara lain,
si polan membunuh diri atau melakukan perkara yang tidak waras akibat tekanan hidup.

Ramai yang mudah berputus asa daripada memikirkan
cara menangani masalah dan ujian itu. Masalah sebegini walaupun
dapat diatasi, mereka harus menerimanya dengan reda dan yakin
pasti ada hikmah di sebalik peristiwa pahit itu. Mungkin hikmah itu terselindung
di sebalik kebendaan duniawi, tetapi tidak di sisi Allah kerana
manusia beruntung adalah yang mendapat keredaan-Nya.
Jika kita menjadikan akhirat dan reda Allah itu sebagai matlamat,
segala ujian bersifat keduniaan dianggap remeh saja.

Allah adalah pencipta manusia, maka Dia mengetahui bahawa pasti ada
hamba-Nya yang akan bersedih akibat mengalami ‘zaman kejatuhan’.
Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih antaranya apabila
diusir dan dikasari penduduk Taif sehingga kepalanya berdarah,
ketika cuba berdakwah selepas kematian isteri, Siti Khadijah dan
bapa saudaranya Abu Talib. Imam al-Ghazali dalam kitabnya,
Mukashafah al-Qulb menerangkan barang siapa ingin selamat daripada azab Allah,
dapat pahala dan rahmat-Nya serta masuk syurga, hendaklah dia
menahan nafsu terhadap keinginan dunia, selain sabar menghadapi
kesulitan dan musibahnya.Sebagai insan yang mengaku bahawa tiada
tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya,
yakinlah bahawa segala kesulitan yang dihadapi dengan sabar tidak membawa sebarang kerugian.

Ia sebenarnya peluang untuk mendekatkan diri dengan pintu syurga.
Sedarlah, kita mungkin ditimpa kesulitan, tetapi bersyukurlah
kerana masih hidup dan memiliki kudrat untuk merubah kesulitan
itu berbanding insan lain yang lebih berat tekanan dan dugaannya.
Adakah kesulitan kita itu lebih pedih daripada kesulitan ditanggung
nabi dan wali Allah? Adakah sakit kita itu lebih teruk daripada penyakit Nabi Ayub?
susah kita itu lebih teruk daripada cabaran dihadapi Rasulullah?
Yakinlah di sebalik kesusahan yang dihadapi, pasti ada insan lain
lebih sukar kehidupannya. Ketika sedih. Fikirlah mengenai kebahagiaan
yang sudah lama diperoleh, tetapi kesenangan itu mungkin membuatkan kita terlalai.

Justeru, adulah segala kegelisahan yang menjelma, kesulitan yang membuntukan
dan kesedihan yang tidak terzahir kepada Allah.
Pohonlah dengan penuh tawaduk dan berharap kepada-Nya di
samping berusaha mengubah keadaan, nescaya Dia perkenankan.
Hal ini kerana itulah janji Allah menerusi firman-Nya bermaksud:
"Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Surah al-Mukminun, ayat 60)

Mensyukuri nikmat kesihatan dan kelapangan masa...
FIRMAN Allah Taala bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah

(yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu;
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” – Surah al-Nahl, ayat 18.

Antara nikmat Allah swt yang sering dilupai manusia ialah
kesihatan dan kelapangan masa. Pada hal kedua-duanya
adalah sebesar-besar modal hidup dalam dunia ini.
Bayangkanlah sekiranya seseorang itu ditakdirkan memiliki harta yang banyak,
tetapi tiada kesihatan umpamanya. Apalah ertinya harta yang bertimbun
kepada kehidupannya? Segala nikmat daripada kekayaan itu tidak dapat dinikmatinya.

Dengan kelapangan masa, apa jua kerja sekalipun tidak dapat dilaksanakan,
sekiranya tiada kelapangan masa. Justeru, maka ia adalah suatu nikmat yang besar,
kerana tanpanya sesuatu kerja, urusan dan hasrat tidak dapat dilaksanakan.
Contohnya, katakanlah seseorang itu hendak menziarahi ibunya yang sakit.
ia dapat melakukannya sekiranya dengan tiba-tiba dia jatuh sakit juga.

Dgn demikian hilanglah hasratnya untuk berbakti kepada ibunya.
Begitu juga jika badannya sihat, tetapi tiada sedikitpun masa lapang
dia berbuat demikian, kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas harian
yang begitu banyak, maka tidak dapat juga ia memenuhi hasratnya itu.

Kesimpulannya, kedua-dua nikmat berkenaan memang besar
ertinya kepada seluruh kegiatan hidup kita di dunia ini.
Renungilah pengalaman hidup kita selama ini pasti akan
meyakinkan kita bahawa kedua-dua nikmat tadi begitu besar sekali
ertinya dalam kehidupan ini.Justeru itu, Nabi saw mengingatkan
kita dalam sabdanya yang bermaksud: “Dua nikmat di mana ramai
orang yang terpedaya kerananya iaitu kesihatan dan kelapangan masa.”
– Hadis riwayat al-Bukhari daripada Ibn Abbas.

Sesungguhnya setiap nikmat yang dikurniakan Allah Taala kepada
kita adalah untuk disyukuri. Ia bukanlah suatu kelebihan dan kemuliaan,
malah sebagai cubaan dan ujian. Justeru ia tidak menjadi ukuran di sisi Allah Taala.
Bahkan yang menjadi ukuran Allah ialah keimanan dan ketakwaan.
Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia
di antara kamu pada sisi Allah ialah yang paling takwa.” – Surah al-Hujurat, ayat 13.

Dan sekiranya nikmat itu suatu kemuliaan kepada manusia,
sudah pasti semua rasul adalah orang yang paling kaya dan banyak harta.
Sebaliknya orang-orang kafir sama sekali tiada diberi sedikitpun
harta di dunia ini.Mensyukuri nikmat itu adalah dengan cara
mempergunakan dalam mentaati segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Oleh yang demikian, kita sebagai Muslim dan Mukmin tidak seharusnya
masa dan kesihatan yang dimiliki ini berlalu begitu saja,
tanpa sebarang aktiviti ibadah kepada Allah, baik secara individu,
masyarakat dan negara.Kita berdoa semoga Allah sentiasa
memberi taufik dan hidayah-Nya dalam mensyukuri segala nikmat-Nya
yang melimpah ruah dan melindungi kita semua daripada segala
perkara yang boleh melalaikan kita daripada-Nya.

>>> em.. bile baca ni..terkesima diriku dibuatnye..
barula ku mengerti.. bila kita ditimpa musibah..o sakit..
means.. dosa-dosa kecil kita akan sedikit..demi sedikt berkurang..
insyaALLAh.. moge kite sentiasa mohon keaMPunan dr-NYA...


ya ALLAH..ya TUhan kami..jauhkanlah kami dari azab neraka...^_^ Posted by Hello

Comments

Popular Posts